Hasil Carian Hadis Terjemahan Melayu
HASIL CARIAN BAGI PERKATAAN/FRASA gembira puasa BERJAYA MENCAPAI 80 HADIS DARI KOLEKSI SAHIH BUKHARI

41  
Hadis Sahih Bukhari Jilid 2. Hadis Nombor 0945.
Dari Al Barra' r.a., katanya: "Biasanya apabila ada orang di antara para sahabat Nabi saw. yang puasa, maka apabila tiba waktu berbuka sedangkan ia tidak tidur sebelum berbuka itu, ia tidak makan malamnya dan keesokan hari sampai petang. Dan bahawasanya Qais bin Shirmah Al Anshari puasa. Setelah tiba waktu berbuka, ia pergi kepada isterinya dan bertanya: "Apakah engkau sedia makanan?" Jawab isterinya, "Tidak! Tetapi aku akan mencarikannya untukmu." Hari itu dia bekerja, kerana itu matanya sangat mengantuk (sehingga ia tertidur). Kemudian isterinya datang. Setelah dilihatnya suaminya, ia berkata, "Rugi engkau." Waktu tengah hari ia jatuh pengsan. Maka diceritakannya kejadian itu kepada Nabi saw., lalu turunlah ayat: "Dihalalkan bagi mu pada malam hari bulan puasa, campur dengan isteri mu." (Al Baqarah, 2:187). Mereka sangat girang dengan turunnya ayat itu. Kemudian turun pula ayat: "Makanlah dan minumlah, sehingga nyata bagi mu benang putih dan benang hitam." (Al Baqarah, 2: 187).

42  
Hadis Sahih Bukhari Jilid 2. Hadis Nombor 0598.
Dari Anas r.a., katanya: "Pada suatu ketika, Rasulullah saw. pernah tidak berpuasa selama sebulan, sehingga kami mengira Nabi saw. tidak dibolehkan puasa bulan itu. Begitu pula, beliau pernah berpuasa selama sebulan, hingga kami mengira bahawa Nabi tidak boleh berbuka bulan itu. Dan jika kamu ingin melihatnya solat tengah malam, kamu akan dapat melihatnya, dan jika kamu ingin melihatnya tidur, kamu juga boleh melihatnya."

43  
Hadis Sahih Bukhari Jilid 2. Hadis Nombor 0975.
Dari Abu Said Alkhudri r.a., katanya dia mendengar Rasulullah saw, bersabda: "Janganlah (puasa) secara terus menerus. Siapa di antaramu yang hendak (puasa) terus menerus, teruskanlah sampai waktu sahur." Kata mereka, "Bukankah Tuan puasa terus menerus, ya, Rasulullah?" Sabda Nabi, "Tidak! Aku tidak seperti kamu. Aku ada orang yang sentiasa memberi makan dan memberi minum kepada ku."

44  
Hadis Sahih Bukhari Jilid 2. Hadis Nombor 0971.
Dari Ibnu Abbas r.a., katanya ada seorang laki-laki datang bertanya kepada Rasulullah saw., katanya: "Ya, Rasulullah! Ibu saya telah meninggal dunia dan beliau ketinggalan puasanya satu bulan. Bolehkah saya puasa untuk membayar puasanya itu?"

45  
Hadis Sahih Bukhari Jilid 2. Hadis Nombor 0589.
Diceritakan dari Abdullah bin Umar Ibnu 'Ash, bahawa Rasulullah saw. bersabda: "solat yang paling disukai Allah ialah solat Nabi Daud, dan puasa yang paling disukai Allah ialah puasa Nabi Daud beliau tidur seperdua malam berdiri (solat) sepertiganya, dan tidur seperenamnya; beliau puasa satu hari dan berbuka satu hari. "

46  
Hadis Sahih Bukhari Jilid 2. Hadis Nombor 0951.
Dari Abdullah r.a., katanya: "Bahawasanya Nabi saw. puasa terus menerus. " Kerana itu orang banyak pun puasa terus menerus. Tetapi kemudian mereka merasa kesulitan, maka dilarang oleh Nabi saw. Kata mereka, "Bukankah Tuan puasa terus menerus?" Sabda Nabi, "Aku tidak seperti kamu. Aku sentiasa diberi makan dan minum."

47  
Hadis Sahih Bukhari Jilid 4. Hadis Nombor 1582.
Dari Anas bin Malik r.a., katanya: Ada tiga orang laki-laki datang berkunjung ke rumah isteri-isteri Nabi saw. bertanya tentang ibadat beliau. Setelah diterangkan kepada mereka, kelihatan bahawa mereka menganggap bahawa apa yang dilakukan Nabi itu terlalu sedikit. Mereka berkata: "Kita tidak dapat disamakan dengan Nabi. Semua dosa beliau yang telah lalu dan yang akan datang telah diampuni Allah." Salah seorang dari mereka berkata: "Untuk saya, saya akan selalu solat sepanjang malam selama-lamanya." Orang kedua berkata: "Saya akan berpuasa setiap hari, tidak pernah berbuka." Orang ketiga berkata: "Saya tidak akan pernah mendekati wanita. Saya tidak akan kahwin selama-lamanya." Setelah itu Rasulullah saw. datang. Beliau berkata: "Kamukah orangnya yang berkata begini dan begitu? Demi Allah! Saya lebih takut dan lebih bertaqwa kepada Tuhan dibandingkan dengan kamu. Tetapi saya berpuasa dan berbuka. Saya solat dan tidur, dan saya kahwin. Barangsiapa yang tidak mahu mengikuti sunnah ku, tidak termasuk ke dalam golongan ku."

48  
Hadis Sahih Bukhari Jilid 4. Hadis Nombor 1948.
Dari Salamah bin Akwa' r.a. bahawa Rasulullah saw. mengatakan kepada seorang laki-laki dari kaum Aslam: "Beritakanlah kepada kaum engkau atau kepada orang banyak di hari 'Asyura. bahawa siapa yang telah makan hendaklah dicukupkannya puasa hari yang tinggal dan siapa yang belum makan, hendaklah berpuasa (penuh)."

49  
Hadis Sahih Bukhari Jilid 4. Hadis Nombor 1791.
Dari lbnu Abbas r.a. katanya: Ketika Nabi saw. sedang berkhutbah, ada seorang laki-laki tetap berdiri. Lalu beliau menanyakan tentang laki-laki itu. Orang itu menjawab: "Itulah Abu Israel yang telah bernazar akan terus berdiri, tidak akan duduk, tidak akan berteduh dan tidak akan bercakap-cakap serta tetap berpuasa." Nabi saw. bersabda: "Suruhlah dia berkata-kata, berteduh dan duduk serta menyempurnakan puasanya."

50  
Hadis Sahih Bukhari Jilid 4. Hadis Nombor 1608.
Dari 'Abdullah bin 'Amr bin 'Ash r.a. katanya: Rasulullah saw. berkata: "Benarkah apa yang diceritakan orang kepada mu bahawa engkau selalu berpuasa siang hari dan selalu solat malam hari?" Saya menjawab: "Benar, ya Rasulullah!" Rasul bersabda: "Jangan berbuat begitu! Kamu berpuasa dan berbuka, solat malam dan tidur. Engkau mempunyai kewajiban terhadap tubuhmu. Engkau mempunyai kewajiban terhadap matamu. Engkau juga mempunyai kewajiban terhadap isteri mu."